Konteks Sejarah Tamadun Sindhu

Perkaitan dengan Timur Dekat

Fasa Harappa matang dari IVC adalah kontemporari dengan Zaman Gangsa Awal dan Pertengahan di Timur Dekat Purba, terutamanya zaman Elam Tua, Wangsa Awal sehinggalah ke zaman Kota Ur III di Mesopotamia, Zaman Crete-Minoa Pra-Palatial dan zaman Kerajaan Kuno sehinggalah ke Zaman Awal Pertengahan di Mesir.

IVC juga dibandingkan khususnya dengan tamadun-tamadun Elam (dalam konteks hipotesis Elamo-Dravidia) dan Crete-Minoa (kerana keselarian kebudayaan yang terasing seperti pemujaan dewi di merata-rata tempat dan gambaran laga lembu). IVC dicadangkan mempunyai pengenalan lain iaitu Meluhha melalui rekod orang Sumeria. Orang Sumeria memanggil penduduk Sindhu sebagai orang Meluhha.

Shahr-e-Sokhta, terletak di tenggara Iran moden kini menunjukkan laluan perdagangan dengan Mesopotamia. Sejumlah cap mohor dengan tulisan Sindhu ditemui di tapak-tapak di Mesopotamia.

Bangsa Dasyu

Selepas penemuan IVC pada 1920-an, ia terus sahaja dikaitkan dengan Dasyu iaitu penduduk asli yang bertentangan dengan puak-puak Ṛgveda melalui maklumat dari sloka-sloka suci Ṛgveda. Mortimer Wheeler menafsirkan kehadiran banyak mayat-mayat yang tidak dikebumikan dan ditemui di atas rantau Mohenjo-daro itu sebagai mangsa penaklukan seperti peperangan. Beliau menyatakan bahawa "ini semua adalah kerja Batara Indra" bagi merujuk kepada pemusnahan yang berlaku di IVC.

Perkaitan IVC dengan bangsa Dasyu yang menjadi penduduk kota masih lagi misteri kerana sarjana beranggapan bahawa tempoh masa penghijrahan bangsa Indo_Arya awal ke benua kecil India itu selari dengan zaman kejatuhan IVC seperti yang dipaparkan pada rekod-rekod arkeologi. Penemuan IVC yang maju dan urban itu walau bagaimanapun telah mengubah pandangan dari abad ke-19 M mengenai penghijrahan bangsa Indo-Arya awal ke situ sebagai "penaklukan" kebudayaan yang maju ke atas penduduk asli yang "primitif" kepada proses penyerapan kebudayaan bangsa yang maju oleh bangsa yang nomad dan gasar. Hal ini, bolehlah dibandingkan dengan penghijrahan bangsa Jerman selepas kejatuhan Empayar Romawi atau penaklukan bangsa Kassite di Babylonia.

Penemuan-penemuan ini merubah keselarian senario ringkas mengenai "penaklukan" dalam memikirkan mengenai pemindahan bahasa dan pergerakan populasi manusia secara umumnya, seperti dalam kes penghijrahan penutur bahasa Greek purba ke Greece atau proses Indo-Eropanisasi Eropah Barat.

Penutur Bahasa Muṇḍa

Para Muṇḍa atau Muṇḍa Tua dan "filum hilang" (berkemungkinan berkaitan dengan atau cikal bakal kepada bahasa Nihali dicadangkan sebagai calon kepada bahasa pertuturan di IVC. Michael Witzel mencadangkan satu bahasa yang tersirat, berimbuhan yang serupa dengan bahasa jenis Austroasia (Mon-Khmer), jelasnya bahasa Khasi. Beliau membahaskan bahawa Rgveda menunjukkan tanda-tanda bahawa hipotesis pengaruh penduduk Harappa dari suku bangsa ini berada pada peringkat awal pensejarahannya manakala Dravidia pula masuk pada kemudiannya. Hipotesis Witzel ini mencadangkan bahawa penduduk berbangsa Austrasia adalah penduduk asal di wilayah Punjab dan bangsa Indo-Arya hanya bertembung dengan bangsa Dravidia pada tahap kemudian pensejarahan IVC.